1 year ago
Pengundi berdaftar.
Kini dengan secara sah, saya sudah boleh mengundi dalam pilihan raya di Malaysia kelolaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), satu badan yang sering dilihat berat sebelah, tetapi terima kasih kerana menerima permohonan saya untuk menjadi pengundi berdaftar. InshaAllah jika tidak banyak, saya akan menyumbangkan sedikit suara untuk menjadikan SPR sama rata. Jika tidak dengan perbuatan, dengan niat dan doa dalam hati yang kecil ini.
Saya berada di DUN Parit Yaani dan Parlimen Sri Gading. Agak terkejut dengan pembahagian kawasan pilhanraya ini. Mungkin sejak dahulukala memang sebegitu. Tempat tinggal saya sejak kecil dulu adalah di Tongkang Pechah. Tongkang Pechah adalah satu kawasan yang lebih maju berkali ganda dari Parit Yaani dan juga Parlimen Sri Gading. Ini dilihat pada dasar pembangunan ekonomi setempat dan juga keadaan sekeliling.
Tongkang Pechah.
Mengetahui pekan ini di bawah DUN Pt Yaani dan Parlimen Sri Gading, membuat saya terpinga-pinga. Perjalanan dari Tongkang Pechah ke pekan Pt Yaani mengambil masa kira-kira dalam 20 minit. Dari Tongkang Pechah ke Sri Gading melalui Pt Yaani akan mengambil masa lebih dari 30 minit, manakala dari Tongkang Pechah ke Sri Gading melalui Bandar Batu Pahat mengambil masa juga lebih dari 30 minit. Dari Tongkang Pechah ke Batu Pahat mengambil masa cuma 15 minit. Bagaimana Tongkang Pechah boleh berada di bawah DUN Parit Yaani dan Sri Gading? Parlimen Batu Pahat lebih hampir dengan Tongkang Pechah gamaknya.
Parit Yaani.
Tiada sekolah menengah sehingga kini di Parit Yaani. Itu sudah cukup untuk menggambarkan keadaan Parit Yaani. Kemudahan yang paling asas sekali itu pun tidak wujud di kawasan tersebut. Kesemua anak-anak lepasan sekolah rendah, akan pergi jauh ke Yong Peng, Tongkang Pechah atau pun Parit Raja untuk meneruskan alam persekolahan. Tongkang Pechah yang di bawah jajahan Parit Yaani, sejak dahulu sudah “bersekolah menengah”. Parit Yaani ini bersebelahan dengan kawasan Parlimennya, Sri Gading. Ahli Parlimen (MP) ini seringkali kita lihat lantang di sidang dewan dan juga di kaca tv.
Sri Gading
Setelah beberapa penggal, Sri Gading ditadbir oleh MP yang sama, hanya kini Sri Gading berubah wajah. Mengambil masa yang begitu lama. Tidak seperti Tongkang Pechah yang di bawah tadbir parlimen ini, lebih lama sudah mempunyai kilang di kiri dan kanannya, untuk memberi kuasa ekonomi kepada penduduk setempat. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan landmark terbaik yang dimiliki oleh parlimen ini. Namun, jalan raya di depannya, merupakan jalan yang paling digeruni untuk melintas jalan!
Parti politik.
Saya tidak lagi menyertai mana-mana parti politik. Saya akan menyokong apa yang perlu disokong, menentang apa yang perlu ditentang. Mungkin teks tulisan segala di atas ini hanya pemikiran jumud dan cetek saya, tapi saya kini sudah menyertai alam politik dengan secara sah melengkapkan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.



